Home Ekonomi NCIA tarik pelaburan diluluskan RM17.25 bilion

NCIA tarik pelaburan diluluskan RM17.25 bilion

KUALA LUMPUR – NCIA telah berjaya menarik pelaburan yang diluluskan sebanyak RM17.25 bilion setakat tujuh bulan pertama tahun ini yang akan menawarkan 12,315 peluang pekerjaan baharu.

Pelaburan ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), mekanikal dan elektrikal (M&E) dan peranti perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan positif ini termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah ini.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan memastikan bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER.

NCIA bersama-sama kerajaan negeri memberi tumpuan untuk mengukuhkan lagi ekosistem bakat dan mewujudkan rantaian bekalan yang teguh bagi meningkatkan daya saing NCER dalam menangani sebarang jurang dalam ekosistem pasca-pandemik.

”Dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik, NCIA sedang merangka pelbagai usaha yang inklusif termasuk penubuhan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER.

”Tabung ini bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Kali Ke-29.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak; Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis; Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang; Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Pengerusi
Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah.

Mesyuarat turut bersetuju supaya program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai serta pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia
(BMTKM).

Pelaksanaannya akan diperincikan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah untuk membincangkan dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian.

Katanya, peranan semua koridor ekonomi amat penting bagi membangun dan meningkatkan daya tahan ekonomi Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette