Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima replika cek daripada Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke 50 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ditawarkan Pengeluaran Khas maksimum sehingga RM500 secara sekali bayar (one off).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sempena Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Katanya, khabar gembira itu bagi menghargai jasa serta pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pencarum LTAT.

“Permohonan pengeluaran Khas Jubli Emas ini boleh dibuat melalui Aplikasi MyWira mulai 10 Oktober dan akan ditutup pada 10 Disember 2022,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di sini semalam.

Menurut Hishammuddin, pembayaran pertama akan akan dilaksanakan bermula 19 hingga 23 Disember 2022.

Dalam majlis yang sama, Hishammuddin turut melancarkan inisiatif Bank Bergerak AFFIN atau Affin Mobile Financial Centre.

Jelas beliau, bank bergerak tersebut akan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti pembukaan akaun bank, permohonan pinjaman, permohonan kad kredit dan juga transaksi melalui Mesin Teler Automatik dan Mesin Deposit Tunai.

“Insya-Allah, moga-moga ia mempermudahkan lagi urusan perbankan saudara saudari terutama bagi mereka yang berada di luar kawasan,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM2 juta daripada syarikat Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd, Affin Bank Berhad, Boustead Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad dan LBS Foundation kepada Yayasan LTAT.

Sumbangan tersebut sebagai dana tambahan sempena sambutan Hari Pahlawan 2022.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua kiri) diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (tiga kiri) melakukan gimik ‘flag off’ pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke 50 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2022.

Menutup ucapannya, Menteri Kanan Pertahanan itu sempat menitip dua pesanan kepada kakitangan kementerian agar bekerja dengan amanah dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi.

Selain itu, dalam majlis yang sama Hishammuddin turut melancarkan Kibar Jalur Gemolang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022.

Sebagai simbolik pelancaran, beliau menyerahkan bendera kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan melakukan gimik flag off mewakili warga ATM.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan bendera kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ke 50 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2022.

Sementara itu, Hishammuddin turut menyerahkan bendera kebangsaan kepada Ketua Setiausaha Kementah, Datuk Muez Abd Aziz mewakili kakitangan kementerian berkenaan. – MalaysiaGazette