Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan bagi menghadiri prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak akan bermula sebentar lagi di hadapan lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan.

Dijangka barisan peguam bekas perdana menteri itu akan membuat percubaan terakhir hari ini untuk memohon penangguhan prosiding rayuan itu kepada panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim, Tun Maimun Tuan Mat.

Jika gagal bermakna prosiding akan berterusan sehingga 26 Ogos depan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Tidak dapat dipastikan sekiranya penangguhan ini gagal sama ada barisan peguam baharu yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik akan menarik diri dari terus mengendalikan kes Najib.

Walaupun sudah ditanya beberapa kali oleh media, Hisyam tetap tidak memberi pengesahan berikutan keputusan itu sejak beberapa lalu.

Semalam ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent memberitahu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hanya mempunyai pilihan cukup terhad dalam percubaannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah tolak lagi permohonan Najib, prosiding akhir rayuan tak akan ditangguh

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir dengan alasan pasukan peguam baharunya memerlukan lebih masa untuk mengkaji kes berkenaan dan membuat persiapan.

Najib melalui peguamnya akan mempertahankan dirinya bersandarkan 94 alasan mengapa beliau harus dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Najib akan mengemukakan rayuan terakhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib boleh mohon rayuan sekali lagi untuk penangguhan prosiding esok