SIBU – Seorang lelaki warga emas serta rakannya maut terkena renjatan elektrik apabila lori membawa jengkaut yang dinaiki mereka tersangkut pada kabel elektrik di Jalan Semalau, Tanjung Manis, kira-kira 100 kilometer dari sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Wan Umar Wan Alek berkata, mangsa Hi Sieh King, 61, manakala rakannya lelaki warga Indonesia belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah lori di Jalan Semalau menghala ke Kampung Jerijih pada  9.15 pagi dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang jaraknya 18 kilometer.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat jengkaut yang dibawa sebuah lori tersangkut pada kabel aliran elektrik dan tayar depan sebelah pemandu lori berkenaan terbakar. Didapati dua mangsa terbaring di bawah tepi lori sebelah pemandu dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman bagimanapun tidak dapat dilakukan serta-merta kerana masih ada aliran elektrik pada kedua-dua kenderaan tersebut sehingga mendapat makluman daripada syarikat pembekal elektrik Sarawak bahawa bekalan elektrik telah diputuskan.

Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis daerah Belawai untuk tindakan lanjut. – Bernama