Dua penjenayah warga tempatan yang giat melakukan samun berkumpulan mensasarkan kedai serbaneka tersungkur di tangan polis dalam satu serbuan yang dilakukan awal pagi tadi di ibu negara.Ihsan IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga yang giat menyamun kedai serbaneka diberkas polis di kawasan perumahan Bandar Tun Razak, Cheras awal pagi ini

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada jam 2.20 pagi tadi telah membuat risikan selepas menerima laporan mengenai insiden samun di premis perniagaan 24 jam itu.

Hasilnya, kata beliau, polis melakukan serbuan dan melakukan tangkapan ke atas dua lelaki berusia 31 dan 36 tahun di kawasan perumahan Bandar Tun Razak, Cheras.

“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes samun kedai serbaneka, Taman Pertama pada Khamis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

barang milik dua penjenayah berkenaan dirampas selepas disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka di Cheras semalam. Ihsan IPD Cheras

Jumlah kerugian yang dianggarkan daripada kegiatan samun itu berjumlah RM507.50, ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Semakan lanjut polis mendapati kedua-dua suspek itu memiliki beberapa rekod lampau kesalahan berkaitan jenayah serta dadah.

Menurut Zam Halim, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan wang tunai dan barang seperti pakaian, topi keledar, motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah tersebut.

“Hasil tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan lima kes jenayah samun kedai serbaneka yang berlaku di sekitar kawasan Cheras membabitkan kedua-dua suspek tersebut.

“Pagi tadi mereka telah dihadapkan ke mahkamah di ibu negara dan dibenarkan reman selama lima hari bermula 19 Ogos hingga 23 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut polis bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

“Pihak Polis Cheras juga menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku. – MalaysiaGazette