Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan produk mengandungi talkum dalam pasaran negara.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, KKM harus melaksanakan larangan itu terhadap keluaran import atau pengeluar tempatan berkuat kuasa serta-merta dan bukannya menunggu sehingga tahun depan.

Katanya, ia susulan zarah talkum mampu bergerak ke atas sistem pembiakan dan membenam dalam lapisan ovari.

“Penyelidik mendapati zarah talkum dalam kanser ovari dan mereka mendapati bahawa wanita yang menghidap kanser itu menggunakan bedak talkum di kawasan kemaluan mereka lebih kerap daripada wanita yang sihat.

“Larangan penggunaan talkum juga perlu membabitkan produk lain seperti pemerah pipi, bedak asas, ‘concealer’, pembayang mata, bedak muka, maskara, celak, pensel kening dan gincu yang mengandungi bahan karsinogen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen,  pengguna juga dinasihati agar mengelak daripada menggunakan produk mengandungi talkum yang mungkin dilabelkan sebagai talkum atau bedak talkum, talkum kosmetik atau magnesium silikat dalam ramuannya.

“Penggunaan bedak bayi berasaskan tepung jagung, serbuk beras (bedak sejuk) dan aloe vera adalah alternatif yang lebih selamat,” jelas beliau.

Baru-baru ini, Syarikat Johnson & Johnson mengumumkan bagi memberhentikan produk mereka secara sukarela pada 2023, selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat menerusi kajian baru-baru ini mendapati talkum mengandungi kesan gentian seperti asbestos yang diketahui menyebabkan kanser dan tumor selain dianggap karsinogenik. – MalaysiaGazette