Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya Rabu lalu secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Kertas Dasar Pengurusan Harta yang Disita dan Dilucut Hak bagi membolehkan proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan dimulakan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan jemaah Menteri itu selari dengan kenyataan media Perdana Menteri pada 19 Mei lalu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

Katanya, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu NFCC menjadi sebuah agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.

“Proses penggubalan RUU pindaan akan melibatkan pindaan kepada Akta NFCC 2019 (Akta 822) dan pindaan berbangkit kepada 26 akta yang dikawal selia oleh lapan kementerian dan jabatan.

“Bahkan satu Jawatankuasa Penggubalan Rang Undang-Undang Pindaan telah dibentuk bagi memperincikan peruntukan yang akan memberi kuasa kepada NFCC untuk menguruskan harta yang disita dan dilucut hak bagi pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, kajian dan penandaarasan mengenai pengurusan harta akan terus dilakukan dengan meneliti pelaksanaannya di beberapa negara yang mempunyai sistem pengurusan harta berpusat seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Netherlands.

“Adalah didapati negara yang mempunyai sistem pengurusan harta berpusat dapat menguruskan harta dengan lebih efektif dan efisien, memberi nilai tambah serta mendatangkan keberhasilan kepada negara.

“Amat penting juga, pelaksanaannya kelak akan memberi manfaat kepada semua pihak dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan sebuah pusat sehenti bagi pengurusan harta yang disita dan dilucut hak.

Ini katanya, merupakan suatu langkah strategik dan holistik dengan mewujudkan suatu sistem data mengenai harta yang disita dan dilucut hak yang komprehensif, khususnya bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani jenayah kewangan dan mengekang ketirisan.

Melalui dasar ini, agensi penguat kuasa dapat lebih memfokuskan kepada tindakan pelaksanaan siasatan dan penguatkuasaan, manakala segala urusan mengenai harta yang disita dan dilucut hak diuruskan oleh sebuah agensi berpusat. – MalaysiaGazette