KAJANG – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menemplak kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan UMNO tidak boleh lagi terlalu mengharapkan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, iaitu MCA dan MIC, memberi sumbangan besar kepada gabungan politik berkenaan pada Pilihan Umum Ke-15 (PRU-5).
Beliau menyifatkan, individu seperti Nur Jazlan merupakan punca UMNO jatuh.
Katanya, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu mudah melatah di kala kerajaan hari ini d ibawah pimpinan Perdana Menteri cuba mempertahankan institusi, namun Nur Jazlan cuba merosakkannya.
“Saya ingin tanya, kenapa (Nur) Jazlan tidak menang pilihan raya lepas? Dia juga hidup di DUN mana?
“Suatu ketika dahulu semua pengundi Melayu di bawah UMNO. Hari ini Melayu ada berapa parti?
“Tidak perlulah, sejarah telah membuktikan bahawa orang-orang seperti ini punca UMNO, Barisan Nasional jatuh.
“Tidak sedar diri… kita lihat di Melaka. Melaka kita tengok berapa majoriti kita? 500 hingga 3,000 itu maksimum.
“Dan pada PRU akan datang ini, kita akan ada lebih kurang 5,000 hingga 10,000 generasi muda di setiap Parlimen,” katanya kepada media selepas menjadi panelis pada Program Minda Profesor Negara, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai catatan Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai di Facebook baru-baru ini, menyatakan di sebalik reformasi yang kononnya sudah dilakukan dua parti itu, pengundi bukan Melayu masih tidak dilihat kembali ‘berduyun-duyun’ menyokong mereka atau BN.
Menerusi perenggan ke-17 pada catatan itu, Nur Jazlan berkata, UMNO perlu sedar satu realiti yang cukup pahit untuk ditelan bahawa parti itu tidak boleh lagi terlalu berharap kepada MCA dan MIC untuk berikan sumbangan besar kepada BN pada PRU15 nanti.
Ini kerana katanya, di sebalik kononnya dua parti komponen itu sudah membuat reformasi, masih tak nampak pengundi bukan Melayu berduyun-duyun kembali sokong mereka atau BN.
Malah katanya, calon-calon MCA dan MIC ketika PRN Melaka dan Johor juga 80 peratus masih bergantung kepada pengundi UMNO.
Menurut Nur Jazlan lagi, adalah mustahil untuk MCA dan MIC melakukan perubahan drastik menjelang PRU15 ini dan disebabkan itu, UMNO perlu berubah segera supaya parti teras BN itu mampu menjamin kemenangan.
Mengulas lanjut Saravanan menegaskan, BN bukan lagi hendak mendapatkan kemenangan selesa, namun biarlah UMNO, MCA dan MIC membawa undi 1,000 atau 2,000 untuk menentukan kemenangan.
Katanya, ketiga-tiga parti adalah sebuah perjuangan dan ia bukan ditubuh semata-mata untuk kepentingan individu.
“Tidak sedar dirikah semua tinggal UMNO yang hidup dengan UMNO ini MIC dan MCA sahaja, kalau tidak BN tidak wujud.
“Ini adalah masalah yang dihadapi melibatkan beberapa individu, tidak sedar peranan. Kita sudah memberi sumbangan pada waktu lalu, kita menjadi deposit tetap bagi BN, jangan masa ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette