Peguam, Hisyam Teh Poh Teik keluar ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan akhir yang melibatkan anak guamnnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes sabitan dan hukuman penjara penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Peguambela utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik mengulangi pendirian tidak akan berhujah pada prosiding rayuan akhir penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang membabitkan bekas Perdana Menteri itu pada Selasa ini.

Beliau yang ditemui di lobi mahkamah selepas ditanya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sama ada akan membuat hujahan lisan terhadap 94 alasan mengapa sabitan hukuman dan denda ke atas Najib perlu ditolak mahkamah berkata, pihaknya tidak akan menyediakan hujahan.

“Anda ada tiga hari bermula esok, lusa dan Isnin untuk menyediakan sesuatu. Adakah anda langsung tidak ada apa-apa untuk dihujahkan memandangkan peguam bela sebelum ini sudah menyediakan 94 alasan mengapa rayuan akhir ini di failkan.

“Baiklah, itu hak kamu tetapi prosiding rayuan akhir ini akan berjalan seperti yang telah dijadualkan Selasa depan. Jumpa anda pada hari itu,” kata Tengku Maimun sebelum menangguhkan prosiding, hari ini.

Semalam, Hisyam berkata, beliau tidak bersedia dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan bagi menyediakan hujah terbaik untuk membantu anak guamnya dalam rayuan itu.

Bagaimanapun mahkamah tetap dengan keputusan untuk meneruskan prosiding rayuan akhir Najib seperti yang telah ditetapkan.

Ini menyebabkan Hisyam cuba memohon untuk menarik diri namun mahkamah tidak membenarkan permohonan tersebut yang menyebabkan beliau tidak akan berhujah dalam kes tersebut.

Najib turut merayu supaya mahkamah dapat mempertimbangkan setiap permohonan yang dikemukakan pihaknya memandangkan ini adalah usaha terakhir bagi menggugurkan sabitan hukuman dan denda terhadap beliau.

Selepas perbicaraan berlangsung selama 79 hari, antara 3 April 2019 hingga 11 Mac 2020, dengan memanggil 86 saksi memberi keterangan.

Pada 28 Julai 2020 Najib disabitkan bersalah oleh hakim Datuk Mohd Nazlan Ghazali atas semua tuduhan dengan menjatuhkan  hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast