KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Foundation of The Year (Banking) dalam Majlis Sustainability & CSR Malaysia Awards 2022 semalam.
Penyerahan anugerah yang berlangsung di sebuah hotel di sini dan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun.
Anugerah itu disampaikan kepada Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin yang mewakili Yayasan Bank Rakyat.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, anugerah oleh CSR Malaysia itu berikutan inisiatif korporat sosial yang dijalankan YBR sepanjang tahun 2021.
Katanya, anugerah itu merupakan pencapaian YBR dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun lalu dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM19.92 juta.
“Kita harapkan anugerah ini menjadi sumber inspirasi bagi organisasi lain (badan bukan kerajaan) untuk terus membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.
“Anugerah ini turut mencerminkan komitmen YBR dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syaiful Rizal berkata, penghormatan yang diberikan itu sedikit sebanyak membuktikan YBR menjadi salah satu agen perubahan dalam transformasi sosioekonomi negara yang lebih mampan dan telus.
“YBR mengucapkan terima kasih kepada anggota Bank Rakyat, badan-badan kerajaan, rakan kerjasama strategik, badan berkeuntungan dan bukan berkeuntungan, termasuk pelanggan yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette