Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) merancang strategi berkesan bagi memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya akan meneruskan usaha memerangi orang tengah dalam rantaian makanan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh negara.

“Apa yang penting masyarakat hendaklah mendapat bekalan makanan dengan mudah pada harga berpatutan beserta nutrisi yang mencukupi.

“Perbincangan antara pihak pengurusan Angkasa bersama beberapa pihak luar yang terlibat dalam tanaman sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, perikanan, pembungkusan dan penjenaman, secara tidak langsung membuka laluan kepada pengwujudan satu pelan tindakan konkrit untuk dibentangkan pada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan perbincangan dalam ‘Program Food Security’ di Shah Alam semalam (19 Ogos 2022).

Turut hadir Pengerusi Angkasa Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah; Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Mohd Yusof Samsudin; Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Datuk Ahmad Jamil Hashim; Penasihat Korporat (Sektor Kewangan, Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdullah Jusoh.

Terdahulu Abdul Fattah berkata, Angkasa diberi keyakinan tinggi untuk menggerakkan sinergi khususnya dalam kalangan anggota Angkasa yang kini mencecah lebih tujuh juta orang.

Usaha ini antara inisiatif kerajaan untuk mensejahterakan sosioekonomi rakyat seterusnya digerakkan oleh sektor koperasi yang berupaya membantu mengatasi isu kos sara hidup.-MalaysiaGazette