KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang arkitek kerana disyaki membuat tuntutan palsu kira-kira RM3 juta terhadap sebuah projek pembangunan di Pantai Timur.
Sumber suruhanjaya itu berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.
Lelaki tersebut ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan, katanya.
Tambahnya, lelaki berkenaan disyaki terlibat mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta, sedangkan kerja-kerja tidak dilaksanakan.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos depan selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman daripada SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette