Remaja yang mencuri dan melarikan wang tunai milik majikannya di bengkel cuci kereta dan habis berbelanja membeli aksesori motosikal berjaya diberkas polis 18 Ogos lalu.Ihsan Polis IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci kereta yang melarikan wang majikannya dan menggunakan hasil aktiviti jenayah itu untuk membeli aksesori motosikal diberkas polis di Lembah Permai, Ampang, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 10 pagi 16 Ogos lalu di Ampang Waterfront, pengurus bengkel cuci kereta telah maklumkan oleh rakannya sekerja bahawa wang hasil perniagaan tiada dalam bekas berzip.

“Pengadu akibat kehilangan wang itu mengalami anggaran kerugian berjumlah RM815,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tangkapan terhadap seorang remaja berusia 17 tahun di Lembah Permai, Ampang pada jam 8.15 malam 18 Ogos lalu.

Menurut Mohamad Farouk, pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada merampas pakaian yang digunakan remaja itu semasa melakukan jenayah serta sebuah motosikal.

“Soal siasat polis mendapati, wang curi berkenaan telah digunakan suspek untuk membeli aksesori motosikal,” ujarnya sambil menambah suspek telah bekerja dengan majikannya selama dua bulan.

Jelas Mohamad Farouk, suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari sehingga 22 Ogos ini untuk membantu siasatan.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu mencuri harta dalam milik tuan atau majikan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun dan dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. -MalaysiaGazette