Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail diiringi Presiden MASTI, Raja Shah Erman Raja Ariffin (kiri) menyampaikan Anugerah Khas MASTI 2022 kepada Editor Malaysia Gazette, Ainul Asniera Ahsan (dua kanan) pada Majlis Anugerah Gemilang 2022 Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) di Pulai Spring Resort, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2022.

JOHOR BAHRU – Malaysia Gazette (MG) menerima Anugerah Khas Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) 2022 yang diadakan di Pulai Springs Resort, di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Professor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail kepada Editor MG, Ainul Asniera Ahsan.

Anugerah Masti 2022 itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam kali ke-4.

Ia dianjurkan bersama sekretariat strategiknya, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pertisas) serta Jabatan Pendaftar UTM.

Presiden Masti, Raja Shah Erman Raja Ariffin berkata, objektif utama penganjuran anugerah itu adalah untuk memperkasa dan meraikan kecemerlangan staf-staf Pentadbir Universiti-universiti Awam Malaysia.

Katanya,  menerusi aktiviti utama yang dianjurkan dengan tema ‘Pentadbir Cemerlang Mencipta Masa Depan Gemilang’ anugerah itu diharap dapat menaikkan semangat staf pentadbir universiti awam selain mengiktiraf jasa media massa yang sentiasa menyokong Masti.

“Anugerah Masti bukan sahaja memanfaatkan golongan pentadbir di 20 universiti awam di Malaysia, malahan pentadbir universiti swasta tempatan yang dapat membincangkan berkenaan hasil-hasil kajian yang akan dibentangkan pada sesi pembentangan kertas kerja nanti.

“Selain itu ia juga merupakan penglibatan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui Program Pengukuhan Pentadbir,” katanya pada majlis sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam kali ke-4 Masti di Pulai Spring Resort, dekat sini, hari ini.

Katanya, antara objektif utama penganjuran program itu adalah untuk memperkasa dan meraikan kecemerlangan staf-staf Pentadbir di Universiti-universiti awam se-Malaysia melalui aktiviti-aktiviti utama yang dianjurkan.

Tambah beliau, melalui tema ‘Pentadbir Cemerlang Mencipta Masa Depan Gemilang’ program ini diharap dapat memanfaatkan bukan sahaja golongan pentadbir-pentadbir di 20 universiti-universiti awam di Malaysia,

Malahan para pentadbir dari universiti-universiti swasta dan tempatan yang lain dapat membincangkan hasil-hasil kajian yang akan dibentangkan pada sesi pembentangan kertas kerja, ujarnya. – MalaysiaGazette