Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada Sidang Media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 20 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung tahun ini berdasarkan kepada perkembangan-perkembangan semasa politik negara.

Presiden parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, biarpun tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini, namun parti itu akan bersiap sedia bagi menghadapinya dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kemungkinan besar PRU15 akan diadakan tahun ini kerana kita nampak perkembangan di UMNO di mana Ahmad Zahid pada hari ini ada buat kenyataan supaya PRU perlu diadakan secepat mungkin.

“Oleh itu ini adalah salah satu faktor yang akan Gerakan pantau termasuk kes mahkamah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini semua faktor yang akan menentukan PRU akan diadakan pada tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti di ibu pejabat Gerakan, di sini, hari ini.

Tambah beliau, UMNO dan BN yang giat mengadakan mesyuarat juga membuktikan bahawa PRU15 akan diadakan pada tahun ini.

Namun menurut Dominic, Gerakan berpendirian PRU15 tidak wajar diadakan tahun ini kerana negara masih dalam proses pandemik Covid-19.

“Kita tak galakkan PRU15 diadakan tahun ini kerana pada masa ini kita mesti fokus pemulihan ekonomi.

“Covid-19 belum dikawal sepenuhnya, oleh itu Gerakan merasakan pemulihan ekonomi itu mesti diutamakan, kesihatan rakyat mesti dijaga lepas itu baru adakan PRU15.

“Gerakan rasa jika boleh kita harap Parlimen dibubarkan tahun depan dan bukan tahun ini. Tetapi jika keputusan Perdana Menteri nak bubar Parlimen pada tahun ini maka Gerakan akan membuat persiapan untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Gerakan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap isu kapal tempur pesisir (LCS).

Tambah beliau, penubuhan RCI adalah bagi memastikan tiada pihak menyembunyikan maklumat mengenai isu LCS.

“Siasatan itu perlu bagi mengenalpasti mengapa pihak berwajib tidak dapat menyiapkan kapal-kapal tersebut.

“Adakah wujud aktiviti rasuah dan kita berharap semua pihak bertanggungjawab dihadap ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa LCS pertama milik TLDM yang dilancarkan pada 2017 tidak dapat disiapkan.

PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan telah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan lima LCS. – MalaysiaGazette

Segerakan PRU15 – Ahmad Zahid