Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu disegerakan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO BN.

“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.

“Dengan kata lain, mereka serang, spin dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun PH berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga PM mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Menurut beliau, pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin kini merupakan waktu terbaik untuk menyegerakan PRU dan justifikasinya telah dijelaskan banyak kali.

Tambah beliau, apa yang penting, UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum parlimen dibubarkan untuk menyerang BN.

“Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang. Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkata, PRU15 dijangka diadakan tahun ini.

Ini kerana sekiranya pilihan raya itu diadakan tahun hadapan, maka gabungan BN bakal berdepan laluan yang lebih sukar susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

Ahmad Zahid berkata, terdapat kebimbangan pada Pakatan Harapan (PH) apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa pendirian UMNO yang mahukan PRU15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

“Berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.

“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah membuat pendirian tersebut dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast