KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditemui lemas di Tasik Perdana, Taman Botani, di sini, meninggalkan nota pesanan kepada anaknya sebelum warga emas itu meninggalkan rumahnya pada jam 6 pagi tadi.
Selain itu, polis turut menemui sekeping kertas yang mengandungi nombor telefon ahli keluarga mangsa berhampiran tasik itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mayat mangsa yang berusia 68 tahun itu dikeluarkan dari tasik tersebut oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Katanya, ahli keluarga mangsa yang bergegas ke lokasi kejadian memaklumkan kepada polis mengenai nota pesanan yang ditinggalkan emaknya itu.
“Pusat Kawalan Dang Wangi menerima panggilan telefon orang awam yang memaklumkan melihat mayat dalam tasik berkenaan, kira-kira 9 pagi.
“Setelah bergegas ke tempat kejadian, polis turut menemui payung dan selipar dipercayai miliknya serta nota mengandungi nombor telefon ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dirujuk ke Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR).
Terdahulu, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mazuri Mat Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.39 pagi.
Tambah beliau, pasukannya telah menghantar jentera dan anggotanya ke tempat kejadian yang terdiri daripada tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Mayat dinaikkan oleh anggota pada jam 10.12 pagi dan diserahkan kepada polis serta paramedik di lokasi untuk diperiksa,” ujarnya. – MalaysiaGazette