TEKA-TEKI tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan topik yang sedang ‘trending’ di seluruh Malaysia ketika ini. Ada yang jangka berlangsung dalam masa sebulan dua lagi. Mungkin juga hujung tahun ini, awal tahun depan atau sehingga habis penggal.
Parti politik juga mempunyai andaian yang berbeza mengenai tarikh PRU-15. Barisan Nasional (BN) dan UMNO mahu ia diadakan secepat mungkin, seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Parti-parti pembangkang pula walaupun tidak bersependapat dengan BN, mereka juga telah memulakan aksi pemanas badan dengan memanipulasi pelbagai isu untuk menyerang UMNO dan kerajaan.
Selain itu, Perikatan Nasional (PN) lebih cenderung PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat lebih-lebih lagi apabila mengambil kira prestasinya yang sangat kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berpandangan, terdapat dua ruang masa di mana PRU-15 mungkin dilangsungkan. Ruang masa yang pertama adalah pada Oktober ini manakala yang seterusnya, sekitar Julai tahun depan.
Dalam program dialog bersama penduduk di Pasir Gudang malam tadi, beliau menghuraikan asas di sebalik jangkaan tersebut. Memetik ucapan beliau dalam rakaman video yang disiarkan melalui laman Facebook miliknya hari ini, Isham menyatakan, Parlimen perlu dibubarkan selewat-lewatnya bulan depan bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada Oktober.
“Kalau kita tak buat Oktober, bulan November, Disember dan Januari ada banjir di Pantai Timur. Saya rasa kita tidak pernah buat PRU pada bulan-bulan tersebut.
“Februari pula Tahun Baharu Cina, takkanlah nak buat masa tu, komuniti Cina marah dengan kita,” jelasnya.
Beliau juga menolak kemungkinan PRU-15 berlaku pada Mac dan April tahun depan kerana Ramadan dan Syawal tiba pada dua bulan berkenaan. Andainya Parlimen dibubarkan pada Mei 2023, kemungkinan besar PRU-15 akan diadakan pada Julai.
Senada dengan Ahmad Zahid, Isham percaya PRU-15 perlu dibuat dalam masa terdekat. Jika masa yang lebih lama diambil, beliau bimbang ia akan memberi kesan yang lebih buruk terhadap ekonomi negara serta menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN.
Dari segi ekonomi, Isham membangkitkan tentang pelaburan langsung asing (FDI ) yang menyusut sehingga menimbulkan masalah-masalah sampingan seperti pengangguran dan kejatuhan nilai ringgit.
Beliau menjelaskan, nilai ringgit yang rendah menyebabkan harga bahan makanan yang diimport termasuk dedak untuk ayam melambung tinggi sehingga RM135 sekilogram. Akibatnya, harga ayam pun menjadi mahal seperti yang pernah berlaku baru-baru ini.
Walaupun harga ayam segar di pasaran kini lebih murah dan semakin stabil, Isham menjangka situasi itu tidak dapat bertahan lama kerana kerajaan terpaksa mengimport ayam dari luar negara untuk menambah bekalan.
Dari sudut politik, BN ketika ini diserang dengan pelbagai isu oleh pihak lawan dengan tujuan menghakis sokongan rakyat terhadap parti itu. Antara isu yang dikaitkan dengan BN adalah kes kapal tempur pesisir (LCS) serta kes mahkamah Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.
Isham mengingatkan tentang ancaman yang ditimbulkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Katanya, GTA ditubuhkan semata-mata untuk melawan UMNO dan merampas sokongan pengundi Melayu yang menyokongnya.
“Dulu masa dia buat kerja dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dia tubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dia tarik 25 peratus undi Melayu, kita kalah PRU-14.
“Sekarang undi Melayu terpecah antara UMNO, Pas dan Bersatu. Dapat dilihat melalui trend PRN Melaka dan Johor.
“Dr. Mahathir nak tarik undi Melayu yang sokong UMNO. Dia tarik 10 peratus sahaja, kita boleh kalah. Sebab itu kita jangan beri dia masa,” katanya.
Sehubungan itu, Isham menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tidak menunggu sehingga kajian sikap rakyat selesai sebelum menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU-15.
“Kajian sikap boleh berubah-ubah. Hari ini, bila buat, kita boleh menang. Keluar isu kapal, tiba-tiba kita boleh kalah pula,” jelasnya sambil menambah bahawa elemen kejutan memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan besar BN di Melaka dan Johor dahulu.
Sebagai ahli politik, Isham berhak menyuarakan pandangannya. Namun, terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri untuk menentukan bila tarikh PRU-15 kerana beliau pasti mengambil kira pelbagai aspek termasuk soal kebajikan rakyat sebelum membuat keputusan. – MalaysiaGazette