KUALA LUMPUR Google Doodle hari ini memberi penghormatan kepada Allahyarhamah Azah Aziz pada hari lahirnya yang ke-94.
Allahyarhamah adalah salah seorang perintis wartawan wanita di Malaysia dan merupakan ikon budaya Malaysia yang diingati atas usaha sepanjang hayatnya dalam pemeliharaan budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang.
Untuk memperingati legasinya, beliau digelar Tokoh Budayawan Melayu.
Azah atau lebih dikenali sebagai Mak Ungku, dilahirkan pada 21 Ogos 1928.
Minatnya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan seni telah dipupuk oleh ibunya, Azizah Jaafar, yang berasal dari keluarga Johor yang terbilang dan merupakan perintis dalam pengajian sains domestik.
Azah mewarisi koleksi tekstil dan pakaian Melayu terawal, juga diperkukuh melalui perkahwinannya dengan Ungku Abdul Aziz, yang mana beliau berkongsi minat mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu.
Beliau mula memupuk minat dalam bidang penulisan dan sastera semasa bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.
Pada tahun 1957, tuah datang menemui Azah apabila beliau ditawarkan bekerja sebagai setiausaha kepada Ketua Pengarang Straits Times ketika itu, Leslie Hoffman, tiga bulan selepas ia memperkenalkan akhbar berbahasa Melayu pertamanya, Berita Harian.
Allahyarhamah kemudian memulakan kerjayanya sebagai wartawan apabila ditugaskan untuk menguruskan bahagian wanita, mengambil alih tugas yang asalnya dikendalikan oleh ibunya Azizah, selama dua tahun.
Antara personaliti antarabangsa yang ditemuramahnya semasa bertugas sebagai wartawan ialah bekas perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali dan keluarganya, dan angkasawan wanita pertama yang ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.
Azah juga adalah perintis dalam banyak perkara. Beliau mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi presiden pertamanya (1971-1978) serta penasihat Pertama seterusnya.
Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan yang berdedikasi untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak.
Allahyarhamah juga memperjuangkan hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri yang bekerja, pindaan keluarga Islam dan kemudiannya mengasaskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam.
Selain daripada sejumlah artikel akhbar dan majalah yang ditulis selama 37 tahun sebagai wartawan, beliau telah mengarang lebih daripada sepuluh buah buku termasuk jilid mengenai tekstil dan pakaian Melayu bertajuk Rupa dan Gaya: Busana Melayu yang membincangkan pengaruh nilai budaya, adat resam tradisional, dan perkembangan sejarah terhadap evolusinya.
Melalui Akaz, syarikat penerbitannya sendiri, Azah menjadi antara wanita pertama di Malaysia yang menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak, di antaranya ialah Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak dan banyak lagi.
Di sebalik kerjayanya, cintanya terhadap seni dan tekstil tidak luntur. Sepanjang tahun ini, beliau telah mengumpul pakaian dan fabrik antik dari zaman Melayu lama.
Azah memiliki lebih 100 jenis koleksi pakaian warisan seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya, yang diwarisi dan dibelinya.
Dengan pengetahuan yang mendalam tentang pakaian, perhiasan dan tekstil, beliau memberi syarahan dan memperkenalkan budaya Melayu kepada festival seni dan seminar antarabangsa.
Beliau menghabiskan sisa hidupnya untuk memartabatkan adat Melayu supaya budayanya dapat terus berkembang maju di seluruh dunia.
Selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan jenis tekstil, beliau juga sangat mahir tentang cara pemakaian dan aksesori yang diperlukan untuk dipadankan bersama. Itulah sebabnya beliau sering dijadikan rujukan atau sumber oleh orang-orang yang berada dalam bidang tersebut.
Penglibatan beliau dalam bidang tersebut telah mendorong banyak pihak (agensi kerajaan, khususnya) untuk melantik beliau sebagai ahli lembaga pengarah mereka, antaranya termasuk ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Kraftangan Malaysia, dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak, antara lain.
Sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan dan mempromosikan budaya telah diiktiraf oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2008, yang mana universiti tersebut telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Seni dan Pendidikan.
Di samping itu, Azah dipilih sebagai Tokoh Wanita Johor pada tahun 1992, dianugerahkan sebagai Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah 1994, dan penerima pertama Anugerah Jarum Berlian yang dianjurkan oleh majalah Rias, terbitan Utusan Melayu. – MalaysiaGazette