Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berucap pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diminta mencerminkan diri terlebih dahulu sebelum melontarkan sebarang pandangan tentang mana-mana parti dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa  Ahli Parlimen Rengas itu terkenal dengan sifat ‘lalang’ dengan pendapat berbeza setiap kali berlakunya pertukaran kerajaan atau peralihan kuasa.

Presiden MIC itu menambah, kenyataan Nazi yang menuduh MIC sebagai pengemis politik kerana menang atas ihsan UMNO  langsung tidak menunjukkan karekter beliau sebagai seorang ahli politik veteran yang berpengalaman.

Vigneswaran berkata, beliau sebenarnya tidak terkejut  dengan tindakan  Nazri yang padanya sudah ‘berubah’ sikap dan tidak lagi mementingkan UMNO mahupun BN lagi.

“Nazri yang ada kini lebih pentingkan diri sendiri. Sudah tidak ada semangat perjuangan untuk sebuah parti yang telah berjuang untuk rakyat lebih 60 tahun. Nazri kini adalah seorang pemimpin politik yang berbeza, hanya untuk dirinya sendiri.

“Jika ada sesuatu yang diminta dan tidak dapat maka beliau akan mula menentang dan bercakap apa sahaja untuk meluahkan rasa tidak puas hati, kenyataan yang dikeluarkan itu bukan lagi untuk kepentingan rakyat atau parti sebaliknya lebih untuk dirinya sahaja.

“Jadi untuk beliau bercakap, teruskan sahaja kerana itu sahaja dia mampu lakukan. Dalam UMNO pun, kedudukan Nazri bukan apa-apa. Bercakap sesuka hati, macam kanak-kanak. Cadangan saya agar beliau dipecat sebagai Setiausaha Agung BN dulu adalah tepat.

“Beliau langsung tidak mencerminkan  semangat keluarga BN mahupun UMNO, cakap ikut suka sahaja untuk dapatkan perhatian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

SA Vigneswaran

Semalam, Nazri mendakwa MIC hanya mahu kerusi selamat untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sedangkan,  MIC kena sedar diri bahawa pengundi India lebih percaya kepada pemimpin kaum itu dalam DAP dan PKR berbanding parti mereka.

Oleh itu, Nazri menambah, MIC sepatutnya kena sedar pengemis tidak boleh memilih.

Bagaimanapun,  Vigneswaran menyifatkan kenyataan Nazri itu tidak ‘logik’ apabila MIC turut menyumbang kepada kemenangan kepada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Nazri Aziz

“Dia cakap apa? MIC tidak relevan lagi dan tidak mendapat sokongan? Yang tidak dapat sokongan itu Mohamed Nazri yang suka cakap mengarut dan langsung tidak ada bersama UMNO dan BN ketika kita melalui saat-saat getir kalah PRU-14 dulu.

“Mohammed Nazri ini juga manusia yang seperti beralih arah menyokong puak pembangkang hanya kerana mereka berkuasa ketika itu. MIC tidak pernah tinggalkan UMNO BN selama saat getir itu. Kita setia senang susah sama-sama. Lupakah dia?,” soal Vigneswaran.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Nazri tahu, undi kaum India meningkat 25 hingga 30 peratus semasa Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Jelasnya, MIC mahu 12 kerusi mengambil kira kekosongan kerusi yang tinggalkan oleh Gerakan selepas keluar dari BN.

Enggan melayan  Nazri, Presiden MIC itu berkata, veteran UMNO itu hanya membuat kenyataan untuk mendapatkan perhatian, selain cuba untuk memecahbelahkan BN ketika saat-saat genting dengan pelbagai provokasi.

“Kita tidak penduli dan saya sendiri tidak berminat untuk komen kalau bukan wartawan yang tanya.Bagi saya atau ahli MIC, Nazri tidak ‘carry weight’ langsung,” tegasnya. -MalaysiaGazette