Noor Azleen Ambros

PASIR GUDANG – Mempertaruhkan calon-calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukanlah satu jaminan kepada UMNO untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Sebaliknya, penentuan calon itu bergantung kepada kesesuaian dan keperluan sesebuah kawasan terlibat, menurut Menurut Exco Pemuda UMNO Pusat No Noor Azleen Ambros.

Ini kerana, faktor usia muda bukan penentu kemenangan kepada parti, sebaliknya banyak perkara lain yang perlu diambil kira termasuklah kemahuan dinamik penduduk setempat.

“Contohnya di Pasir Gudang ini, kalau BN nak menang kena lihat dari segi pengundi itu sendiri, ada pelbagai. Kita dapat lihat ada dalam kalangan mereka yang bekerja, yang kaya, dan ada juga golongan miskin. Semua perkara itulah yang perlu diambil kira untuk pastikan kita memenangi PRU-15 nanti.

“Latar belakang pengundi itu penting sebelum kita menetapkan calon di kawasan yang kita bertanding,” katanya selepas menyertai program Cabaran dan Peluang Barisan Nasional Di Bandar di Dewan Taman Molek di sini malam tadi.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Baharudin Mohamed Taib.

Ketika ditanya persediaan Pemuda UMNO dalam berdepan PRU15, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, perkara tersebut sangat subjektif namun secara umumnya sayap parti itu sudah bersedia.

Jelas beliau, banyak perkara perlu dikaji dan diambil kira untuk BN serta UMNO memenangi di Parlimen Pasir Gudang selepas tewas sebelum ini.

Mengenai cadangan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang mahukan kerajaan negeri mempertimbang untuk mengiktiraf Parlimen Pasir Gudang dan Pengerang sebagai daerah baharu di negeri ini, beliau berkata, perkara tersebut tepat pada masanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Scientex 2 berkata, ini kerana populasi di Parlimen Pasir Gudang dan Parlimen Tebrau yang berada di bawah pentabdiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kini berjumlah lebih 500,000 penduduk.

“Pasir Gudang, Pulai, Iskandar Puteri dan Tebrau semuanya berada di bawah pentadbiran daerah Johor Bahru, maka menjadi satu keperluan untuk mewujudkan satu daerah yang baharu.

“Apabila ada satu daerah yang baharu, pentadbiran akan menjadi lebih tersusun dan berfokus berbanding sekarang yang lebih tertumpu di Johor Bahru.

“Sedangkan Pasir Gudang juga pesat membangun, banyak yang boleh kita rancang jika ada daerah baharu,” katanya.-MalaysiaGazette