Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Simposium Keluarga Malaysia Pencapaian dan Harapan di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana telah memberikan nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas nasihat Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, maka kerajaan mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

”Kata pepatah, waktu unik memerlukan pendekatan unik. Alhamdulillah, negara kita mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu
yang begitu prihatin kepada kesentosaan negara dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia “Pencapaian dan Harapan” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil pendekatan inklusif ini, kerajaan telah mencapai kestabilan politik.

Malah, pelbagai inisiatif lain yang kerajaan rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak, ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang telah diluluskan sebulat suara.

Tambah beliau, ketaatsetiaan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong juga tidak boleh sama sekali diragui.

Malah, kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. – MalaysiaGazette