Mohd Dendera Billah Zamzuri. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam bertanya apa yang berlaku pada dana sebanyak RM157 juta yang diperuntukan untuk menangani masalah banjir yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor pada 14 April lalu, ekoran tiada tindakan sewajarnya.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, walaupun tiga bulan inisiatif itu diumumkan, namun masih tiada perkembangan mahupun kerja-kerja pencegahan bencana itu dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan banjir kilat di Taman Sri Muda, masih berulang semalam.

“Semalam, Shah Alam dan kawasan sekitarnya sekali lagi berhadapan dengan situasi banjir. Bencana ini masih lagi berlaku, sekaligus mendatangkan kesan negatif kepada penduduk setempat.

“Malah, tiada apa-apa perubahan yang dapat dilihat jika dibandingkan dengan situasi banjir yang berlaku beberapa bulan lepas.

“Ke mana perginya RM150 juta yang diperuntukkan sebelum ini? Adakah bajet sebesar itu yang seharusnya menguruskan banjir di Selangor telah dipersiakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan MBSA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, banjir kilat sekali lagi melanda Taman Sri Muda, Shah Alam berikutan hujan lebat melanda sekitar Sealngor sejak pagi hingga petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai banjir sekitar 5.05 petang semalam di Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Bagaimanapun, sehingga jam 6.30 petang semalam, air banjir telah surut sepenuhnya di kawasan itu dan hujan lebat telah berhenti.

Dendera Billah mendakwa, Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) bagi menaik taraf sistem perparitan utama bandaraya itu bagi menampung 50 tahun ‘average recurrance interval’ (ARI) yang dijadual bermula Jun lalu hanya omongan kosong.

“Rakyat Selangor sudah muak dengan janji-janji palsu seperti ini. Kita mahukan perubahan yang memberi manfaat dan bukannya pembaziran jutaan ringgit tetapi hasilnya tiada.

“Pihak MBSA dan Kerajaan Negeri Selangor perlu memberikan penjelasan berkenaan isu ini. Sila jelaskan kepada rakyat kenapa banjir kilat masih berlaku walaupun jutaan wang rakyat (cukai) telah dibelanjakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette