MELAKA – Negeri-negeri yang mempunyai jumlah pengundi baharu yang tinggi perlu memperkemaskan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan terutama negeri-negeri yang mempunyai jumlah pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
“Keseluruhannya, semua negeri mempunyai tahap kesiapsiagaan yang bagus menghadapi PRU-15 namun ada negeri-negeri yang perlu memperkemaskinikan jentera mereka khususnya menghadapi pengundi baharu.
“Negeri-negeri ini, mengalami kekangan jentera yang mana kita telah pun buat beberapa pengubahsuaian (antaranya) tak boleh bergantung kepada Wanita BN sahaja untuk kajian sikap pengundi kerana kekuatan mereka juga sudah capai tahap maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada sesi perjumpaan bersama kira-kira 2,000 jentera BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kajian sikap pengundi seharusnya melibatkan semua pihak di peringkat cawangan dan bukan sahaja kepada sayap Wanita BN.
“Tambahan pula, kajian sikap ini banyak dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu jadi eloklah ianya dibilas semula supaya ianya dapat dibuat dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan memberi jaminan akan membubarkan Parlimen selepas memperoleh hasil kajian sikap yang dijalankan oleh Wanita BN.
Beliau berkata, kajian tersebut penting bagi mengetahui kekuatan parti gabungan tersebut khususnya melibatkan pengundi putih. – MalaysiaGazette