Gambar hiasan

LONDON – Lebih 1,900 pekerja di pelabuhan kontena terbesar Britain dijadual memulakan lapan hari mogok hari ini walaupun diberi amaran boleh boleh menjejaskan rantaian perdagangan dan bekalan secara serius.

Ia merupakan mogok pekerja terbaharu di Britain ketika kesatuan sekerja menuntut gaji yang lebih tinggi susulan krisis kos sara hidup.

“Tindakan mogok akan menyebabkan gangguan yang besar dan akan mencetuskan gelombang kejutan yang besar di seluruh rantaian bekalan United Kingdom (UK) tetapi pertikaian ini sepenuhnya dibuat oleh syarikat sendiri,” kata Bobby Morton, pegawai kebangsaan Kesatuan Unite.

Katanya, syarikat Felixstowe mempunyai peluang memberi tawaran yang adil kepada pekerja tetapi enggan berbuat demikian.

Bagaimanapun, Felixstowe, pengendali Pelabuhan Hutchison berkata, ia percaya tawaran kenaikan gaji 7.0 peratus dan bayaran sekali gus sebanyak 500 paun (AS$604) adalah adil.

Ia berkata kesatuan pekerja pelabuhan, yang mewakili kira-kira 500 kakitangan yang berperanan dalam penyeliaan, kejuruteraan dan perkeranian, telah menerima perjanjian itu.

Unite, yang mewakili terutamanya pekerja-pekerja di limbungan berkata cadangan itu jauh di bawah kadar inflasi semasa dan mengikuti di bawah kenaikan inflasi tahun lepas.

“Pelabuhan menyesali kesan tindakan ini terhadap rantaian bekalan UK,” kata jurucakap Pelabuhan Hutchison Ports.

Pelabuhan itu berkata, ia sudaj mempunyai pelan kontingensi dan sedang berusaha untuk meminimumkan gangguan semasa mogok yang akan berlangsung sehingga 29 Ogos.

Kumpulan perkapalan Maersk, salah satu pengirim kontena terbesar dunia, telah memberi amaran tindakan itu akan memberi kesan yang ketara, menyebabkan kelewatan operasi dan memaksanya membuat perubahan pada barisan kapalnya.

Angka yang dikeluarkan pada 17 Ogos menunjukkan inflasi harga pengguna Britain mencecah 10.1 peratus pada Julai, tertinggi sejak Februari 1982 dan beberapa ahli ekonomi meramalkan ia akan mencecah 15 peratus dalam tiga bulan pertama tahun depan di tengah-tengah lonjakan kos tenaga dan makanan. – Reuters