Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Zain memasang Jalur Gemilang di salah satu motoksikal mat rempit di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Penularan pandemik Covid-19 hingga memaksa negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun sebelum ini tidak pernah melunturkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Usaha mengembalikan patriotisme itu bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah kini banyak pihak tampil untuk membantu ke arah itu, apatah lagi untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 pada 31 Ogos ini.

Bagi menyuntik semangat patriotik, Yayasan Metamorphosis tidak ketinggalan untuk membantu kerajaan untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, khususnya golongan anak muda yang kini menjadi penentu kepada masa depan.

Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, kumpulan mat rempit antara kelompok anak muda yang perlu didekati dan disantuni agar tidak terkecuali dalam sambutan hari kemerdekaan kali ini.

“Kita sudah kenal pasti antara 300 hingga 400 anak muda atau kumpulan mat rempit dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sedia bersama kami untuk menyambut Hari Kemerdekaan menerusi aktiviti permotoran secara sihat.

“Menerusi Program Santai Anak Muda ini, kami memberi motivasi dan kaunseling kepada belia mengenai risiko baik dan buruk menjadi mat rempit yang tidak bersikap positif.

“Selain itu, kami menyerahkan Jalur Gemilang untuk dipasang pada motosikal masing-masing bagi memeriahkan hari kemerdekaan dan semangat cintakan Malaysia.

“Pendekatan santai yang berhemah seumpama ini diharap mampu membuatkan golongan itu berasa lebih dihargai dan berguna kepada rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita di sekitar Jalan Ipoh, di sini, malam tadi.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Zain memasang Jalur Gemilang di salah satu motoksikal mat rempit di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam tadi.
FOTO: NIZAM ZAIN

Dalam pada itu, Razalif menerusi Yayasan Metamorphosis bercadang membina sebuah litar atau trek khas untuk kumpulan mat rempit menghabiskan masa lapang bagi melakukan aktiviti permotoran terutama cuti hujung minggu.

“Kita mahu trek itu dijadikan litar sah untuk mereka merempit berbanding berlumba secara haram di jalan raya.

“Selain lebih selamat dan terkawal, ia sekali gus mengelak risiko kemalangan yang bukan saja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau juga komited untuk mengubah stigma masyarakat yang kebanyakkannya memandang serong terhadap golongan mat rempit.

“Tidak semua golongan mat rempit ini negatif, kerana ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kerjaya yang bagus dan maju ke hadapan.

“Kita perlu membantu mereka menerusi program seumpama ini yang mendapat sambutan amat memberangsangkan,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut akan meneruskan program itu menerusi konvoi bermotorsikal ke Lost World of Tambun di Perak pada minggu hadapan.

“Kami menjangkakan seramai 1,000 mat rempit akan menyertai konvoi ini yang bermula dari acara pelepasan di Kuala Lumpur.

“Pelbagai aktiviti disediakan kepada mereka di Tambun itu nanti dan semestinya mahu menyemarakkan hari kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Stigma masyarakat? Apa benda laaa ko ni menggalakkan lagi aktiviti merempit ni..masyarakat plak ko salahkan?? Dah meninggal 5 org kat Penang hari tu masih ko nak galakkan merempit.? patut ko buat kempen merempit tu haram mcm menagih dadah…

Comments are closed.