Ketua Cabang Hulu Selangor, Sathia Prakash Nadarajan melancarkan program Semarak Kembara Merdeka 1.0 di Dewan Ulu Bernam, Hulu Selangor.
Dr. Sathia Prakash Nadarajan (tengah) bersama-sama kibarkan bendera ketika melancarkan Majlis Sambutan Semarak Merdeka 1.0 di Dewan Ulu Bernam, di sini.

ULU BERNAM – Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat antara matlamat Semarak Kembara Merdeka 1.0 yang dilaksanakan oleh Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

Jelas beliau, aktiviti yang julung kali dianjurkan ini bertujuan menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan, sekali gus meningkatkan patriotisme dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, Semarak Kembara Merdeka 1.0 akan diadakan di sekitar Hulu Selangor bermula dari Ulu Bernam, Kuala Kubu Bahru, Bukit Beruntung, Sentosa, Sungai Tinggi dan penutupnya pada 24 Ogos di Antara Gapi.

“Sebenarnya program ini kita akan berkonvoi di seluruh kawasan Hulu Selangor untuk semarakkan Hari Kemerdekaan dan kita memilih mulakan program ini di Ulu Bernam.

“Kalau kita lihat kawasan ini sudah berada di hujung Selangor dan memang kepadatan penduduknya kurang. Jadi saya tidak mahu kawasan ini diabaikan.

“Walaupun dewan di sini kecil dan hujan, tapi sambutan kemerdekaan dari penduduk dengan dihadiri lebih 300 orang memang meriah.

“Laungan Merdeka dan nyanyian lagu dari penduduk di sini pun jelas nampak mereka gembira selepas sekian lama tiada program diadakan di sini,” katanya ketika melancarkan Majlis Sambutan Semarak Merdeka 1.0 di Dewan Ulu Bernam, di sini.

Sementara itu ditanya mengenai semangat kemerdekaan terhadap generasi masa kini, Dr. Sathia Prakash berkata, ia dilihat semakin cetek dan patriotisme dalam jiwa rakyat juga tidak lagi dipupuk seperti sebelum ini.

“Dulu masa saya kecil, semua orang bersemangat untuk sambut Merdeka dan kibar jalur gemilang. Sekarang saya lihat dah semakin kurang.

“Saya dapat rasa kita bukan lagi satu Malaysia seperti dulu. Semakin berbeza sampaikan berlaku perpecahan antara kaum, agama dan kasta. Benda ini perlu kita lupakan sebab ini bukan budaya kita.

“Justeru, kita perlu kembali bersatu hati, bekerjsama antara satu sama lain, pupuk kembali semangat Anak Malaysia. Bagi saya dengan adanya kembara yang kita lakukan ini, jelas ia mampu menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.” ujarnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast