Tujuh lelaki dan seorang wanita didakwa atas pertuduhan mengalihkan wang bagi tujuan pinjaman tidak wujud di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Lapan individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengalihkan wang milik seorang wanita ke satu akaun bank lain bagi tujuan pinjaman tidak wujud pada Julai lepas.

Khoo Chia Syuen, 19; Lim Zhi Wei, 20; Loo Jurn Sin, 20; Lau Chin Han, 20; Jason Chew Boon Yeong, 24; Kelvin Tan Chun Chin, 25; Ling Zhi Sen, 26 dan Wee Yan Hwee, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu membantu mengalihkan harta milik Nursyuhadah Rashid, 36, iaitu wang tunai sebanyak RM3,120 secara pindahan wang dari akaun CIMB Bank Berhad milik beliau ke dalam akaun CIMB milik Muhammad Shahrul Yuzi Selamat untuk tujuan pinjaman tidak wujud yang bertentangan dengan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Pantai Jerejak 1, Sungai Nibong dalam Daerah Barat Daya jam 11.20 pagi tengahari pada 31 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin RM7,000.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim bersama Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar.

Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Khaw Yit Hao.

Semasa prosiding Khairul Anuar memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun Yit Hao meminta jaminan dikurangkan susulan kesemua anak guamannya berada dalam tempoh reman bermula dari tangkapan hingga di hadapkan ke mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM7,000 bagi setiap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 26 September ini. – MalaysiaGazette