Noraini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UMT dan USASK di Kanada.

SASKATCHEWAN (KANADA) – Kolaborasi dalam bidang penyelidikan bagi menghasilkan teknologi moden penting untuk meningkatkan produktiviti hasil sektor pertanian dan perikanan demi untuk menjamin sekuriti makanan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sektor pengajian tinggi mestilah meningkatkan kerjasama antarabangsa untuk menangani isu keselamatan makanan global yang kini amat kritikal disebabkan oleh banyak cabaran yang dihadapi seperti pandemik, perubahan iklim dan konflik antarabangsa.

“Kolaborasi seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mengatasi cabarancabaran tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita percaya bahawa SDG ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti merupakan asas kepada semua SDG yang lain, jadi kita mesti membangunkan program pendidikan melalui perkongsian antarabangsa bagi menghasilkan graduan yang holistik.

“Justeru, saya berharap agar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan University of Saskatchewan (USASK) mempertingkatkan kerjasama untuk membangunkan program-program yang telah dirancang bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UMT dan USASK melalui projek penghasilan makanan berasaskan sumber protein alternatif Black Soldier Fly (BSF) yang diguna untuk membangunkan makanan rumusan kepada haiwan akuatik di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Lanjutan Saskatchewan, Gordon S. Wyant dan Provos merangkap Naib Presiden Akademik USASK, Prof Airini.

Noraini berada di Kanada bagi menghadiri Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) ke-65 di Halifax bermula 20 hingga 26 Ogos 2022 anjuran Persatuan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPA).

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, MoU ini adalah hasil daripada projek penyelidikan yang telah dijalankan oleh UMT yang
menarik minat pihak USASK untuk berkerjasama bagi mengkomersilkan hasil penyelidikan tersebut menjadi salah satu produk komersil untuk pasaran Kanada.

Tambahnya, kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Institut Akuakultur Tropika & Perikanan (AKUATROP), UMT ini bakal diaplikasikan kepada industri pemprosesan makanan ternakan akuatik seperti ikan, udang dan ketam.

Selain itu katanya, ia turut dijadikan sumber makanan alternatif kepada haiwan ternakan seperti ayam, itik, kambing, arnab dan lembu.

“BSF adalah sejenis serangga yang taburan populasinya boleh ditemui hampir di seluruh dunia mengikut sepsis yang tersendiri, larva serangga ini mempunyai kandungan protein, kitin dan lipid yang tinggi dan berkualiti untuk keperluan seharian berdasarkan kajian saintifik yang telah dijalankan oleh penyelidik pakar.

“Penggunaan larva BSF adalah sebagai kaedah alternatif dalam mengurangkan kebergantungan sumber protein berasaskan makanan ikan (Fish Meal) yang digunakan pada masa kini memandangkan kos bahan mentah dari sumber sedia ada ini semakin mahal dan tidak lestari,” katanya.

Tambahnya, haiwan yang diberi makanan rumusan BSF terbukti secara saintifik dapat mempercepatkan tempoh tumbesaran dan meningkatkan daya tahan organisma ternakan.

“Sumber alternatif ini mampu memenuhi permintaan pasaran yang luas sekaligus menyahut seruan kerajaan yang menekankan kepada aspek jaminan makanan dan makanan masa hadapan,” jelasnya.- MalaysiaGazette