Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) bersetuju untuk meneliti semula dasar-dasar melibatkan sumber manusia dan modal insan di semua kementerian berkaitan secara menyeluruh bagi menangani cabaran pasaran buruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu selepas mesyuarat itu mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa mengenai bakat sedia ada berdasarkan keperluan industri.

Menurutnya, negara kini menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran.

Selain itu, Malaysia juga berdepan dengan saingan daripada negara-ngara maju yang menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor-sektor yang berpotensi tinggi.

”Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Ia berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan di samping terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

”Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju ke adapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat itu.

Mesyuarat hari ini membincangkan dua perkara utama, iaitu berkaitan teknologi maju dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan pasaran.

Pada mesyuarat itu, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia berada di antara 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index), kata beliau.

Ini selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menurut beliau, selain itu satu langkah strategik inovasi akan diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang tersebut dengan kehendak industri. – MalaysiaGazette