Dua suspek samun yang memiliki 31 rekod jenayah dan dadah lampau berjaya diberkas dalam serbuan di rumah di Melaka dan barang samun serta pakaian digunakan penjenayah turut dirampas awal 3 pagi tadi. Ihsan IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Nasib dua wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila mereka disamun.

Malah salah seorang mangsa dibawa ke sebuah hotel di Balakong, dekat sini, dan  dirogol dua individu yang melakukan jenayah samun itu.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang memiliki 31 rekod jenayah dan dadah lampau serta dikehendaki polis dicekup polis di Melaka awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalan kejadian jam 6.50 pagi Sabtu lalu, kedua-dua mangsa yang sedang berjalan kaki ke tempat kerja di kawasan Hospital Pantai Pandan Indah, Ampang dihampiri kereta suspek  jenis Honda City.

Katanya, kedua-dua suspek mengaku dan memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai imigresen’ dan mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja.

“Kedua-dua mangsa diarahkan oleh suspek untuk menaiki kereta mereka bagi proses tindakan lanjut sebelum kedua-dua mangsa telah terpedaya dengan helah suspek yang menyamar sebagai pegawai Imigresen menaiki kereta mereka.

“Pengadu dan rakannya kemudian dibawa ke kawasan Serdang dan semasa dalam perjalanan, suspek telah mengambil barang kemas dan wang tunai milik pengadu sebelum dia diturunkan di tepi jalan di kawasan Serdang manakala rakannya dibawa bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua suspek samun yang memiliki 31 rekod jenayah dan dadah lampau berjaya diberkas dalam serbuan di rumah di Melaka dan barang samun serta pakaian digunakan penjenayah turut dirampas awal 3 pagi tadi. Ihsan IPD Ampang Jaya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah membawa rakan pengadu iaitu mangsa kedua ke sebuah hotel di kawasan Balakong dan merogolnya.

Menurut Mohamad Farouk, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kajang.

“Bertindak atas maklumat risikan, pada jam lebih kurang 3 pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah membuat serbuan di sebuah rumah teres di Taman Seri Asahan, Jasin, Melaka sebelum berjaya membuat tangkapan terhadap dua suspek lelaki tempatan yang disyaki terlibat di dalam kes jenayah samun dan rogol yang disiasat polis.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap kedua-dua penjenayah terbabit juga berjaya membawa kepada rampasan wang tunai, seutas rantai leher dan rantai tangan serta kenderaan dan pakaian yang digunakan oleh suspek semasa terlibat dalam jenayah ke atas kedua-dua mangsa wanita Indonesia itu.

“Semakan mendapati suspek berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah manakala suspek berusia 35 tahun mempunyai 13 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah termasuk satu rekod dikehendaki bagi kes dadah,” ujar beliau.

Mohamad Farouk berkata, kedua-dua suspek-suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pada pagi ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rompakan berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menyamar penjawat awam.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman bagi Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan. – MalaysiaGazette