KUALA LUMPUR – Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan tularnya lagu duet Datuk Seri Aliff Syukri dengan Baby Shima berjudul Baby Sayang bukan penentu kualiti sesebuah lagu.
Malah beliau berpendapat lagu sedemikian akan ‘mengganggu’ industri muzik tanah air.
“Sebenarnya pendengar suka mendengar termasuk saya nak dengar apa yang tak kena. Memang tak kena kerana selalunya juri cari benda yang salah dalam nyanyian tapi yang ini nak cari part yang betul pun tak jumpa.
“Kalau dia masuk radio dan keluar di kaca TV lainlah. Kalau dia keluar fizikal CD pun belum tentu ada yang beli,” tulis di Facebook miliknya.
Mokhzani yang kini bertugas secara kontrak dengan RTM turut menawarkan diri untuk menjaga vokal Aliff secara percuma sekiranya jutawan kosmetik itu berhasrat untuk terus menghasilkan lagu selepas ini.
Beliau mengakui ‘pantang’ mendengar nyanyian sumbang Aliff dalam lagu itu.
“Lain kali panggil orang yang ada ‘telinga’ jaga vokal. Bukan kita tak mahu tolong. Kira okeylah keseluruhannya nak juga dia menyanyi, tapi itulah kena ambil tindakan sebab nak keluar radio tak semudah itu.
“Kita pun bukan tak nak berkompromi soal ini. Lagu ini simple dan muzik pun okey. Sesuai dengan konsep, cumanya masalah pada nyanyian.
“Baby Shima tiada masalah tapi nyanyian Datuk (Aliff) nak lagi kena berlatih. Okeylah setakat keluar YouTube ada 813,000 tontonan kiranya banyak. Cukuplah setakat itu,” katanya.
Menerusi video terbabit, Mokhzani yang sering diundang sebagai juri Anugerah Juara Lagu dan Gegar Vaganza menjelaskan Aliff mempunyai banyak kelemahan daripada segi suara berbanding Baby Shima yang disifatkan sempurna. – MalaysiaGazette