Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini sekali lagi menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti keterangan saksi utama dalam kes perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti kenyataan lisan dan bertulis saksi iaitu Rafiq Hakim Razali didapati tidak mempunyai percanggahan serius yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan dilakukan pada 2020.

“Keputusan ini dibuat kerana hanya ada perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada perbezaan material atau percanggahan yang serius yang membolehkan mahkamah meneruskan prosiding mencabar saksi utama,” katanya di sini.

Pada 25 Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan saksi utama selepas meneliti dan mendengar hujah pasukan pembelaan yang diakui oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 30 Akta SPRM.

Azhar berkata, salinan itu perlu diserahkan kepada mahkamah dan menjelaskan, sebarang perbezaan atau percanggahan keterangan akan diteliti sebelum keputusan dibuat kemudian.

Sebelum itu pada 22 Julai lalu, pihak pembelaan mengemukakan permohonan kedua di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kredibiliti Rafiq dengan mendapatkan pernyataan saksi itu yang direkodkan pada 2020.

Peguam Gobind Singh Deo berhujah, pernyataan Rafiq akan dijadikan asas mendapat kebenaran memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Syed Saddiq kerana ia tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Permohonan bagi mencabar kredibiliti Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikemukakan ekoran keterangan lisannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang direkodkan SPRM semasa siasatan.

Pada prosiding tersebut, beliau berhujah, percanggahan yang menjadi asas kepada permohonan itu antara lain melibatkan perincian masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq serta tujuan program mengutip dana di Muar, Johor dan wang yang diperolehi hasil kutipan itu.

Sebelum ini, pihak pembelaan memohon mendapatkan pernyataan saksi pendakwaan ke-13 itu meskipun pernyataan secara bertulis itu tidak dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Pada 18 Julai, Syed Saddiq gagal dalam permohonan pertama mencabar kredibiliti keterangan Rafiq yang didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada SPRM.

Dalam keterangannya awal bulan lalu, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq telah mengarahkannya untuk mengeluarkan RM1 juta ketika satu mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya pada Mac 2020 selepas `Langkah Sheraton.’

Namun, ketika pemeriksaan balas, Rafiq berkata, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu hanya menyebut jumlah RM1 juta itu dalam satu panggilan telefon.

Gobind turut berhujah, Rafiq dalam keterangan lisannya tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Bagaimanapun, dalam pernyataannya kepada SPRM, Rafiq mengesahkan bahawa sumber kewangan ABBE adalah hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya iaitu melalui Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di De Palma Hotel.

Pernyataan itu juga menyebut, majlis makan malam diadakan bertujuan mendapatkan dana bagi Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Mahkamah ketika ini mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas menteri Kabinet didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette