Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pertemuan Khas bersama Presiden UMNO dan Ketua-ketua Bahagian UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Bahagian UMNO di seluruh negara sebulat suara bersetuju supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan menegaskan, ia akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keputusan itu akan disampaikan kepada Ismail Sabri sama ada oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Selepas perjumpaan pada pukul 11 pagi tadi rupanya kami ditaklimatkan dan memberikan pandangan serta pendapat mengenai PRU-15 yang mungkin diadakan dalam waktu terdekat, masanya pun kami tak diberitahu. Tujuan kami dipanggil untuk kesiapsiagaan jentera,” katanya kepada media di lobi Menara bangunan Dato Onn di sini hari ini.

Ditanya mengapa pertemuan itu dibuat secara tergempar, Jamal tidak mengetahui berkenaan perkara tersebut.

Sementara itu, beliau memaklumlan hanya tiga pemimpin tertinggi parti yang hadir dalam pertemuan berkenaan.

Dua daripada pemimpin yang tidak hadir iaitu Ismail Sabri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dimaklumkan mempunyai urusan di kementeriannya.

Terdahulu, satu jemputan pemakluman mengenai pertemuan khas berkenaan yang tertera nama Setiausaha Agung UMNO tular menerusi aplikasi Whatsapp.

Berdasarkan jemputan itu, presiden dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta semua ketua bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung perkara penting demi masa depan parti.

Jemputan pertemuan segera dan diletakkan sebagai mustahak itu dibuat oleh Ahmad pada kira-kira pukul 11.15 malam tadi. – MalaysiaGazette