Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bergambar bersama Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman (kiri) dan Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat ketika di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Subang Jaya ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

SUBANG – Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya (OCPD) yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau sebelum ini berkhidmat telah sebagai Timbalan Ketua (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Subang yang baharu, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

Wan Azlan mengambil alih jawatan tersebut daripada pemangkunya yang juga Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Subang Jaya di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed hadir menyaksikan majlis tersebut.

Berucap selepas upacara pemakaian pangkat dan serah terima tugas itu, Arjunaidi merakamkan setinggi penghargaan kepada Abd Khalid yang telah mencurahkan khidmat sepanjang menjawat jawatan tersebut sejak 28 Oktober 2020 dan penggantinya Wan Azlan yang akan memikul tugasnya selepas ini.

“Tugas dan tanggungjawab lebih besar dan mencabar sedang menanti Wan Azlan di IPD Subang Jaya selepas ini akan tetapi saya sangat yakin dan percaya beliau mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

“Justeru dalam hal ini pengalamannya di Timbalan Ketua Risikan dan Operasi di IPK Negeri Sembilan sudah pasti akan membantu beliau menghadapi segala cabaran di sini dalam memastikan visi dan misi yang ditinggalkan oleh Abd Khalid dapat diteruskan dan dicapai dengan cemerlang,” katanya.

Menyentuh mengenai Abd Khalid, Arjunaidi juga berkata, sumbangan khidmat bakti yang dicurahkannya sepanjang setahun sembilan bulan di IPD Subang Jaya telah melakar pelbagai kejayaan menaikkan imej polis. – MalaysiaGazette