Dadah ganja seberat 31 kilogram yang dirampas dari tujuh suspek di Lembah Klang dalam OpHelia 19 Ogos lalu di ibu negara.- Gambar iIhsan JSJN IPKKL.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu di sekitar Lembah Klang tumpas dengan penahanan tujuh individu baru-baru ini.

Antara tujuh suspek salah seorangnya wanita disyaki mendalangi sindiket berkenaan yang menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai markas menyimpan dan mengedar barang terlarang itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek berjaya ditangkap menerusi tiga serbuan berasingan bersama dadah bernilai RM112,000.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan Operasi OPHELIA pada 18 Ogos lalu bermula pukul 2.15 petang hingga 19 Ogos lalu pada pukul 10 malam di sekitar ibu negara.

“Dalam serbuan pertama, petang Khamis lalu, pasukan narkotik menyerbu sebuah lobi hotel di Kampung Baru sebelum mencekup tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 32 hingga 39 tahun dan tiada barang yang dirampas daripada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara dadah Ganja dan Syabu yang dirampas dari 7 suspek tempatan mendalangi sindiket dadah aktif di Lembah Klang dalam OpHelia 19 Ogos lalu di ibu negara. – Gambar ihsan JSJN IPKKL.

Berpandukan soal siasat tiga suspek pertama itu, kata beliau, polis melakukan serbuan kedua di sebuah bilik di hotel sama di Kampung Baru pada hari yang sama dan mencekup seorang suspek lelaki tempatan 32 tahun dan merampas satu kilogram dadah jenis ganja bernilai RM2,500 dan 958 gram syabu bernilai RM35,000

Tambah beliau, kemudiannya, polis sekali lagi menyerbu kawasan parkir kenderaan sebuah kondominium di Jalan Ampang pada 19 Ogos lalu.

Hasil serbuan berjaya membawa kepada tangkapan terhadap tiga lelaki berusia berusia 23, 24 dan 27 tahun dan berjaya merampas dadah ganja seberat 30 kilogram bernilai RM75,000.

“Dengan tangkapan tujuh suspek itu, jumlah keseluruhan rampasan dadah ganja dan syabu adalah bernilai RM112,500 yang boleh digunakan oleh 63,916 orang pengguna dadah.

“Kesemua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum keputusannya mendapati tiga daripadanya positif THC manakala dua lagi suspek positif methaphetamine sementara manakala seorang lagi lelaki tiada rekod urin dan jenayah selain suspek perempuan pula negatif dadah.

“Manakala semakan lanjut mendapati lima suspek lelaki mempunyai 31 rekod jenayah lampau dadah sementara seorang lagi suspek lelaki tidak memiliki rekod lampau tetapi suspek wanita pula mempunyai tiga rekod kesalahan dadah,” katanya.

Azmi memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan bergiat akif  sejak empat bulan yang lalu dengan menjadikan kondominium mewah berkenaan yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan sebagai markas penyimpanan dadah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan pihak berkuasa.

“Justeru, siasatan lanjut mendedahkan sindiket mendapat bekalan dari sebuah negeri di utara Semenanjung dan dihantar ke ibu negara untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Malah, semua suspek berkenaan tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan mengedar dadah sebagai punca pendapatan utama mereka dan kesemua mereka tidak pernah serik walaupun telah beberapa kali ditangkap dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 26 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-MalaysiaGazette