Gambar arkib Lim Guan Eng bersama Abdul Hadi Awang.

PULAU PINANG – DAP akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan amalan rasuah dengan orang bukan Islam.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Abdul Hadi itu adalah berbaur hasutan selain merosakkan perpaduan rakyat.

Katanya, tuduhan itu juga “mengarut” dan tidak berasas kerana skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga kapal tempur persisir (LCS) bukan berpunca daripada bukan Islam atau bukan bumiputera.

Menurutnya lagi, disebabkan majoriti penjawat awam adalah daripada kaum tunggal, keadaan itu menyebabkan kebanyakan kes rasuah berkaitan agensi kerajaan juga melibatkan kaum tunggal.

“Masalah sekarang adalah parti bukan Muslim dan bukan bumiputera tertentu telah menyokong Pas dalam kerajaan dan mahu menjadikan Pas sebagai rakan politik dalam Kerajaan Persekutuan.

“Parti-parti berkenaan mengeluarkan kenyataan di suratkhabar bahawa mereka menentang percakapan Abdul Hamid, tetapi mereka menyokong Abdul Hadi dalam Kabinet.

“Sifat dan pemikiran sedemikian adalah sangat bahaya,” katanya dipetik Sinchew Daily  semasa menghadiri satu aktiviti di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, MCA, MIC dan GPS bagaikan membantu orang jahat melakukan perbuatan jahat selain melanggar fahaman mereka yang mahu mempertahankan bukan Islam dan bukan bumiputera.

“Saya berharap parti-parti ini tidak memilih bulu. Jika menentang kenyataan Abdul Hadi, maka mereka perlu mengeluarkannya dari Kabinet.

“JIka masih kekal dalam kerajaan, maka lebih banyak kenyataan yang merosakkan keharmonian kaum dan rakyat akan muncul,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ramai yang tak perasan ucapan ust tok guru hadi itu. Mereka cuma dengar cakap tapi tidak memahami maksut tersirat. . Yang melakukan rasuah itu hanya orang bukan islam betul lah tu .walau pun melayu . Nampak sembahyang pergi umrah dan haji . Tapi kalau mereka rasuah sebenarnya mereka bukan islam . Dap tak faham . Dap boleh belajar ilmu tersirat dengan ust hadi .

Comments are closed.