Bendahari BN Selangor yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap kepada media selepas penutupan Konvensyen Barisan Nasional Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) memberi perhatian sepenuh untuk merampas semula Selangor , termasuk bersedia untuk mengubah tradisinya dengan meletakkan Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertanding kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak.

Baru-baru ini telah timbul khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bersedia memberi laluan dan membantu Tengku Zafrul untuk berkempen.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya kerana tradisi BN selalunya tidak membenarkan calon bertanding Parlimen dan DUN secara serentak.

Walau bagaimanapun, sumber dari BN memberitahu Oriental Daily, memang terdapat cadangan supaya Tengku Zafrul bertanding masing-masing di kerusi Parlimen dan juga DUN, tetapi keputusan muktamad belum dibuat.

Kata sumber itu, Tengku Zafrul yang kini merupakan Menteri Kewangan tidak mungkin bertanding di Sungai Air Tawar.

Katanya, Tengku Zafrul akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor, tetapi DUN Sungai Air Tawar bukan dalam Kuala Selangor, malahan agak berjauhan.

Jelasnya, demi memudahkan pemberian perkhidmatan, DUN yang ditandingi Tengku Zafrul sudah pastinya terletak dalam Parlimen Kuala Selangor.

“Kerusi DUN yang paling berkemungkinan adalah Bukit Melawati, tetapi Jeram juga merupakan satu kemungkinan,” kata sumber.

Pemerhati tidak sukar mendapati bahawa Tengku Zafrul kerap menghadiri aktiviti di Kuala Selangor, khususnya di Puncak Alam, yang terletak dalam DUN Jeram.

Walaupun UMNO Selangor tidak mengesahkan Tengku Zafrul sebagai bakal calon, tetapi pemerhati melihat kemungkinan beliau bertanding adalah sangat besar. – MalaysiaGazette