Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding akhir rayuan kesnya di mahkamah di sini sambil tersenyum dan melambaikan tangan kepada wakil media di Istana Kehakiman pagi ini.

Hari ini prosiding akhir rayuan sabitan hukuman penjara serta denda penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan disambung semula.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba sekitar 9.20 pagi sambil disambut para penyokong tegar beliau sebelum masuk ke dalam mahkamah.

Ketika di tegur jurukamera dan juruvideo di lobi, beliau sempat tersenyum dan melambai seperti biasa dan kelihatan beliau kelihatan tenang.

Prosiding di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan bermula pada bila-bila masa dari sekarang.

Najib dilihat membaca dokumen sambil di temani anaknya di galeri awam manakala beberapa pemimpin serta pegawainya turut memenuhi ruangan galeri manakala barisan peguam pendakwaan dan pembelaan sudah bersedia.

Seandainya barisan utama pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik oleh Najib untuk mewakilinya enggan berhujah pagi ini, ada kemungkinan Tun Maimun bersama empat panel lain sebulat suara mungkin membuat keputusan serta-merta atau menangguhkannya ke suatu tarikh lain.

Najib juga sebelum sudah beberapa kali tampil merayu supaya mahkamah mempertimbangkan setiap permohonan yang dikemukakan pihaknya memandangkan ia adalah usaha terdesaknya bagi memastikan  sabitan hukuman dan denda terhadapnya dapat digugurkan mahkamah.

Setakat artikel ini ditulis, Tun Maimun masih berpendirian tidak ada sebarang penangguhan dalam kes rayuan akhir Najib.

Prosiding akan bersambung sekitar 9.45 pagi ini.

Selepas perbicaraan selama 79 hari antara 3 April 2019 hingga 11 Mac 2020, yang menyaksikan 86 saksi memberi keterangan, Najib pada 28 Julai 2020 disabitkan bersalah oleh hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Ghazali atas semua tuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast