Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan tiada kesalahan berhubung status Facebook individu bernama Zamani Ibrahim yang juga suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Status yang telah dibuat pada 2018 itu dikaitkan dengan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semakan mendapati, kenyataan yang dimuat naik oleh Zamani itu adalah hantaran pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan peribadi.

Jelasnya, kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun itu berunsurkan pandangan politik semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah.

“Kenyataan lama ditularkan kembali menerusi media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan ini telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Sebelum ini satu laporan polis dibuat Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman di Balai Polis Presint 7, Putrajaya yang mana ia dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Hamidah yang berkongsi salinan laporan polis dalam hantaran di Facebook memaklumkan ia dibuat berikutan satu hantaran tular berbaur politik dan prejudis terhadap bekas Perdana Menteri oleh pemilik akaun bernama Zamani Ibrahim.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu berkata, hantaran dibuat individu terbabit berbaur politik dan dikatakan gembira dengan kejatuhan Najib yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast