Seorang lelaki disyaki kurang siuman merosakkan Jalur Gamilang yang dipasang di Brickfields sempena sambutan bulan Kemerdekaan. Gambar DBKL

KUALA LUMPUR – Tidak sampai seminggu kejadian seorang lelaki merosakkan Jalur Gemilang di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Jalan Ampang tular di media sosial, semalam satu lagi insiden sama berulang lagi.

Kali ini polis menahan seorang lelaki kurang siuman selepas  merosakkan Jalur Gemilang di kawasan sekitar Brickfields Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian itu pada jam 3.20 petang dan meminta bantuan polis ke Jalan Tun Sambanthan 4.

Apabila anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sampai di lokasi, mendapati dua orang kakitangan  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang berada di lokasi bersama seorang lelaki yang disyaki kurang siuman.

Kakitangan DBKL memaklumkan lelaki tersebut merosakan bendera Jalur Gemilang berdekatan lokasi Brickfields.

Selepas mengambil dokumentasi lelaki berkenaan, dia telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan kesihatan dan untuk dirujuk ke wad Psikiatri. – MalaysiaGazette