SHAH ALAM – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid melancarkan Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan: Projek AM-2 di sini hari ini.
Menurutnya, Projek AM-2 merupakan kerjasama merangkumi aspek penyelidikan, keusahawanan dan pendidikan itu akan memberi kepakaran kepada pelajar di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Sekarang ini, penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI) dan German-Malaysian Institute di bawah MARA sedang dibangunkan,” katanya selepas majlis pelancarannya.
Mahdzir yakin kerjasama itu akan mencipta sejarah apabila pasaran motosikal di negara ini berada pada tempat kelima di Asia Tenggara dan kedudukan ke-13 di dunia.
Sebagai rekod, AMI merupakan sebuah syarikat yang sedang pesat dalam pasaran motosikal domestik dan kini bersaing untuk pasaran mobiliti serantau.
Sementara itu, Mahdzir berkata, banyak pihak menggunakan motosikal bagi menangani masalah kesesakan jalan raya dan ia satu peluang buat kementeriannya menjana kewangan dengan pihak industri.
Setakat April tahun ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebanyak 217,287 unit motosikal baharu didaftarkan dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga ke hujung tahun.
Mahdzir berkata, banyak pihak menggunakan motosikal bagi menangani masalah itu dan ia satu peluang buat kementeriannya menjana kewangan dengan pihak industri.
“Hari ini, salah satu cara elak kesesakan lalu lintas adalah menggunakan motosikal. Ia juga mempercepat dan memudahkan pergerakan.
“Jadi, MARA di bawah kementerian kita bekerjasama dengan AMI akan memperkasa ekonomi negara dalam industri dua roda,” katanya. – MalaysiaGazette