Home Nasional Najib tiba di Penjara Kajang untuk jalani hukuman

Najib tiba di Penjara Kajang untuk jalani hukuman

KAJANG – Datuk Seri Najib Razak tiba ke Penjara Kajang di Jalan Sungai Jelok, di sini, untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

Kenderaan Utiliti Sukan bewarna hitam yang membawa bekas Perdana Menteri tiba jam 6.05 petang dengan diiringi lima motosikal polis pengiring serta tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) polis.

Menurut sumber Penjara Kajang, Najib boleh dihantar ke Penjara Sungai Buloh sekiranya beliau membuat permohonan untuk ke penjara itu.

“Buat masa ini, selagi tidak ada permohonan daripada Najib, beliau akan menjalani hukuman di Penjara Kajang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, emerhatian MalaysiaGazette di lokasi mendapati sebilangan anggota Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang turut berada di pintu masuk penjara Kajang untuk melaporkan situasi dan perkembangan di kawasan penjara tersebut.

Anggota Jabatan Penjara Malaysia turut mengetatkan kawalan di pintu masuk penjara dan setiap kenderaan diperiksa dengan teliti sebagai langkah keselamatan.

Kira-kira sejam sebelum kenderaan yang membawa Najib tiba di penjara berkenaan, polis telah melarang kenderaan diletakkan di kedua-dua bahu jalan. – MalaysiaGazette