Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Tiada sebarang perbincangan mengenai Datuk Seri Najib Razak disentuh dalam pertemuan beberapa pemimpin UMNO bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Seri Perdana di sini malam tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya berkata, ia lebih kepada urusan memastikan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.

“Kita semalam (bincang) pastikan semua jentera seluruh negara bersedia hadapi PRU-15 yang mungkin berlaku pada bila-bila masa dan kesiapsiagaan ini memberikan satu petunjuk kepada pucuk pimpinan parti.

“Tak ada (bincang mengenai Najib),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Jemilang Peringkat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 dan Hari Malaysia di sini hari ini.

Ditanya adakah parti ada membincangkan kesan keputusan mahkamah terhadap Najib kepada parti yang akan diketahui hari ini, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, berkata, perkara itu juga tidak disentuh.

“Tak tahu dan tak ada bincang pun,” katanya enggan mengulas lanjut.

Diminta mengulas mengenai mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) semalam, beliau berkata, tidak ada perbincangan mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam urusan Najib.

That is very wrong perception, tak ada, dan kita pun kalau berlaku perkara itu (desakan), kita tak akan memberi sokongan kerana tidak nampak bahawa kerajaan yang diterajui UMNO mesti tidak nampak mencampuri urusan pentadbiran mahkamah.

“I don’t think so, we never discuss about that,” katanya. – MalaysiaGazette.