KUALA LUMPUR – Pementasan teater muzikal Moyang Salleh yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 31 Ogos ini di Istana Budaya terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat penajaan yang mencukupi.
Badan Kebajikan Ahsan Undang Luak Jelebu dan Persatuan Karyawan Negeri Sembilan selaku penerbit teater tersebut berkata, pembatalan itu mendukacitakan dan memohon maaf.
Bagaimanapun, katanya, persembahan Muzikal Moyang Salleh diteruskan pada 23 hingga 25 September 2022 di Auditorium Raja Melewar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan (JKKN NS).
Sehubungan itu, kepada individu yang telah membeli tiket dan ingin membatalkan pembelian, boleh menghubungi 011-13297822 (Ilassoticket.com) dan 018-2755981 (Urus setia) untuk keterangan lanjut.
Manakala mereka yang ingin terus menonton, boleh dibawa ke hadapan untuk tarikh baharu persembahan.
”Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat Teater Muzikal Moyang Salleh yang menanti-nantikan persembahan ini serta semua yang menyokong industri seni dan budaya tanah air.
”Sekali lagi kami ingin memohon kepada pembeli tiket untuk terus mengekalkan tiket yang telah dibeli manakala mereka yang ingin membatalkan pembelian, boleh berhubung dengan pihak pengurusan tiket untuk tindakan kami selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette