Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bakal memperkenalkan Sistem Pengurusan Trafik UAS (Sistem UTM) bagi mengurus dan memantau keseluruhan aktiviti penerbangan dron.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sistem tersebut termasuk untuk aktiviti dron kegunaan
komersial atau rekreasi.

“Kalau dulu kita dengar dron sebagai alat mainan sekarang ini perlu kita lihat secara teliti kerana perlu pastikan aspek keselamatan dijagai.

“Penggunaan dron sentiasa berkembang, kita mengalukan penggunaan teknologi baharu ini sama ada pembuatan video dan gambar tapi dalam waktu yang sama mesti ada kawal selia yang perlu melalui satu proses latihan, mengikuti protokol yang diberikan pihak CAAM,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Pengoperasian Unmanned Aircraft System (UAS) atau Dron Bersama Pihak Media anjuran CAAM di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang sama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo.

Tambah Ka Siong, CAAM dalam masa yang sama berhasrat memperkenalkan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang bertujuan menambah baik dan mendokong industri dron mencapai potensi penuh dan seterusnya ke tahap yang lebih tinggi.

Terdahulu beliau berkata, penggunaan dron yang semakin berleluasa tanpa pengetahuan protokol berpotensi mendedahkan risiko-risiko kepada isu keselamatan dan pencabulan privasi.

Sehubungan itu, katanya, CAAM sebagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab berhubung penggunaan dron komited memberi penerangan serta pendedahan kepada orang ramai berhubung peri pentingnya penggunaan dron secara terkawal dan selamat.

“Tanpa pendedahan, pengetahuan dan kemahiran terhadap keperluan undang-undang, batasan penerbangan dan latihan yang betul dikhuatiri ia akan mengakibatkan kejadian-kejadian yang tidak diingini termasuklah membabitkan kecederaan dan kematian seterusnya menyebabkan pengamal-pengamal media berdepan dengan tindakan undang-undang,” jelasnya.

Bengkel media yang dibentangkan oleh Unit US/Dron CAM pada hari ini menyediakan penjelasan lteliti mengenai peraturan-peraturan terkini berkaitan dron.

Dalam masa yang sama, bengkel yang dihadiri lebih kurang 50 pengamal media itu turut melibatkan perkara terkini mengenai ekosistem dron di dalam negara dan panduan lengkap berkaitan aliran proses permohonan Kelulusan Special AS/Drone Project khas untuk organisasi media.

Sementara itu, Kapten Chester berkata, Sistem UTM yang dijangkakan bermula Oktober tahun depan merupakan pemangkin kepada industri dron dalam negara.

Menurut beliau, sistem yang sama akan memendekkan proses permohonan penggunaan dron daripada 14 hari kepada kurang sehari sahaja.

“Dengan adanya sistem ini akan ada proses pemantauan. Sistem ini mempunyai dua peringkat iaitu U1 dan U2 masing-masing pendaftaran dan kelulusan permohonan.

“Semua dron dalam negara sama ada kegunaan rekreasi atau komersial akan didaftarkan ini cara pemantauan keselamatan. Sekiranya ada masalah atau kesan cuaca mengakibatkan keselamatan kota boleh kenal pasti pemilik dan tingkatkan pengawalan keselamatan. Akan ada laman sesawang dan aplikasi nanti,” katanya.

Katanya lagi, sehingga kini, sistem berkenaan di peringkat pemeriksaan teknikal sebelum di melalui tender terbuka pada Januari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast