Amy Search dikurniakan anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73, di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Lagenda rock negara, Amy Search menyifatkan anugerah Datuk yang diterima daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam hari ini sebagai antara hari terindah yang tidak pernah diimpikan.

Pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 64, itu berkata, penganugerahan itu  lebih bermakna apabila kebetulan isterinya juga merupakan orang Melaka dan dia sendiri gemar melancong ke negeri Hang Tuah.

“Syukur alhamdulillah pada Ilahi kerana menjadikan hari ini adalah antara hari terindah yang tidak pernah saya impikan selepas 40 tahun dalam karier sebagai anak seni.

“Selepas ini, saya amat berbesar hati sekiranya dapat bekerjsama mengadakan persembahan dengan kerajaan negeri Melaka,” katanya ketika ditemui media di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Terdahulu, vokalis utama kumpulan rock lagenda negara, Search itu dikurniakan anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73, hari ini.

Mengulas lanjut, Amy yang juga bapa kepada pelakon Nabila Huda berkata, Melaka menjadi antara negeri kegemarannya kerana tertarik dengan senibina dan kebudayaannya.

Istiadat penganugerahan akan diadakan mengikut tiga sesi iaitu hari ini yang menyaksikan 347 penerima manakala sesi kedua dan ketiga pada Sabtu ini menyaksikan 536 penerima menjadikan keseluruhan penerima anugerah 883 orang.

Mereka terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, pengamal-pengamal media massa dan aggota badan sukarelawan.  – MalaysiaGazette