Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kita tidak seharusnya berasa gembira apabila sesuatu musibah menimpa ke atas seseorang, nasihat Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, beliau berkata, semua pihak hendaklah menjadikan ianya suatu panduan dan pedoman.

“Jadikan ia sebagai panduan supaya kita yang masih berada di luar dan bebas ini, tidak mengulangi kesilapan sama ada jenayah dalam bentuk peribadi atau jenayah yang melibatkan negara.

“Oleh itu, rakyat hendaklah berazam terus untuk membina negara yang lebih baik dan membanteras rasuah secara berterusan agar Malaysia menjadi negara yang makmur, aman dan berintegriti, sekarang dan pada masa akan datang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Najib sudah berusaha sedaya upaya dalam rayuan terakhir kes berkaitan dana RM42 juta milik SRC, namun kesemuanya ditolak Mahkamah Persekutuan.

Menurut Mat Sabu, rakyat harus jadikan segala bentuk musibah yang menimpa kepada orang lain sebagai suatu pengajaran kepada diri sendiri.

“Jangan kita bersikap angkuh dan sombong. Sebaliknya semua kita hendaklah beristighfar kepada Allah SWT.

“Kita berusaha dan mendoakan supaya negara Malaysia dan rakyatnya berada di dalam keadaan aman, damai, berintegriti dan keadilan sosial dapat ditegakkan sebaik mungkin pada masa yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette