Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya . Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menerima arahan untuk mendakwa seorang lelaki warga Algeria yang kerana menceroboh Pondok Keselamatan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan mencederakan dua anggota dengan tukul besi awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek kini sedang menjalani pemeriksaan rapi dan rawatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan polis terhadap suspek mendapati motif utama dia mengamuk dan menyerang dua anggota polis bersenjata dengan tukul besi di Pondok Kawalan adalah kerana dia dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang dalam pemeriksaan pihak hospital.

“Kertas siasatan lengkap membabitkan suspek itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pagi hari ini sebelum mendapat arahan untuk menuduh suspek di mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki guna tukul besi serang pondok kawalan IPK Kuala Lumpur dicekup

Tambah beliau, suspek seorang gelandangan berusia 30 tahun itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Namun, suspek hanya akan dituduh di mahkamah hanya selepas dia dibenarkan keluar dari wad psikiatri HKL dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki warga asing dicekup polis kerana menyerang dua anggota polis yang bertugas di pondok pengawal dan menceroboh Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Dang Wangi dikejarkan ke lokasi dan menahan suspek serta merampas tukul besi yang digunakan untuk mencederakan anggota polis terbabit. – MalaysiaGazette