Pemandu Honda City yang berlagak samseng dan menghentikan kenderaan secara tiba tiba hingga mengundang bahaya kepada pasangan suami isteri dalam insiden di NKVE 21 Ogos lalu berjaya ditahan selepas dicari polis sejak kelmarin. Ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mengancam keselamatan pasangan suami isteri di Lebuhraya Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE) petang kelmarin.

Lelaki itu yang tidak berpuas hati kerana wanita tersebut telah menukar lorong telah memberhentikan keretanya secara mengejut di hadapan kenderaan pasangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 36 tahun ditahan selepas hadir ke Balai Polis di Shah Alam jam 7 petang tadi.

“Suspek telah dicari sejurus selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan dan siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) IPD Shah Alam terhadap kes ini telah berjaya mengesan pemilik kenderaan Honda tersebut yang didaftarkan atas nama seorang perempuan tempatan yang menetap di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

“Soal siasat ke atas pemilik kenderaan itu telah mengesahkan bahawa semasa kejadian, kereta tersebut dipandu oleh bekas teman lelakinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, lelaki itu akan direman pagi esok di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru lelaki ancam pasangan suami di NKVE

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 57 saat menunjukkan sebuah kereta Honda City berhenti di hadapan sebuah kereta.

Seorang lelaki kelihatan menuju ke arah kereta di belakang dan memaki hamun penumpang serta pemandunya selain meminta mereka keluar daripada kereta selepas menyedari perbuatannya sedang dirakam.

Bagaimanapun, seorang wanita keluar dari kereta hadapan memanggil suspek untuk mententeramkan keadaan. – MalaysiaGazette

Polis buru lelaki ancam pasangan suami di NKVE